Belum pun kenaikan gaji kakitangan awam diumumkan oleh kerajaan, beberapa harga barangan runcit keperluan makanan didapati sudah naik antara lima hingga sepuluh peratus.
Tinjauan di beberapa kedai runcit dan borong selain temu ramah dengan pengguna di tiga bandar utama mendapati pelbagai alasan diberikan penjual bagi mewajarkan harga barangan dinaikkan.
Antara alasan yang diberikan ialah harga dinaikkan pengilang, maka pemborong tiada pilihan dan terpaksa menjual pada harga yang lebih tinggi kepada peruncit.
Pengguna pula merungut kerana harga barangan naik tanpa amaran dan pada kadar tidak munasabah.
Tinjauan Bernama di beberapa kedai borong sekitar Selayang di Kuala Lumpur mendapati barangan runcit yang popular seperti Milo, Nescafe dan susu pekat manis F&N telah naik sejak lebih sebulan lalu.
Seorang pengusaha kedai borong yang hanya mahu dikenali sebagai Wong, 41, berkata, kenaikan harga barangan tersebut berpunca daripada kenaikan kos kilang.
“Kita tidak menaikkan harga sesuka hati tetapi harga kita ikut harga baru kilang,” katanya.
Menurutnya, pengilang terbabit mengeluarkan notis kenaikan harga produk mereka kepada pemborong dan peruncit lebih sebulan lalu.
Katanya, sebagai contoh harga baru runcit Milo tin bersaiz 1.5kg yang dicadangkan pengilang ialah RM22.75 berbanding RM21.50 sebelum 15 Mac lalu sementara bagi pek bersaiz 400gm naik dari RM6.06 kepada RM6.40.
Wong berkata, susu tin jenama F&N jenis krimer manis 510gm naik 20 sen setin kepada RM2.40 sejak 1 April lalu sementara bagi Nescafe pek bersaiz 100gm naik 20 sen kepada RM6.70 baru-baru ini.
Beliau mendapat maklumat banyak lagi pengilang barangan runcit makanan akan menaikkan harga produk mereka tidak lama lagi dengan alasan kenaikan kos bahan mentah, tetapi ia tidak melibatkan harga barangan kawalan.
Seorang peniaga borong wanita yang dikenali sebagai Mei, 27, berkata, sardin tin saiz besar jenama King Cup naik 40 sen kepada RM4.30 baru-baru ini dan mendakwa harga sardin jenama ‘Ayam Brand’ akan dinaikkan pengilang tidak lama lagi.
Pemborong bawang, Tan Choi Lon, 35, berkata, buat masa ini hanya harga borong bawang besar India yang naik iaitu dari RM8 kepada RM9 seguni disebabkan faktor cuaca yang tidak menentu di India.
Menurutnya, harga bawang putih naik 20 sen kepada RM2.10 baru-baru ini sementara harga bawang lain dan kentang tidak berubah.
Di PULAU PINANG, tinjauan mendapati kenaikan harga beberapa barangan makanan di pasaran bukan berpunca daripada tindakan pemborong sebaliknya pengilang atau pengeluar bahan itu sendiri yang telah menaikkan harga berkenaan.
Rata-rata pemborong yang ditemui berkata, mereka terpaksa menjual barangan itu mengikut senarai harga baru yang diberi oleh pengilang secara berperingkat mulai 15 Mac lalu.
Seorang pemborong, Habib Rahman berkata, beliau menerima senarai baru harga produk keluaran syarikat Nestle yang rata-rata menyaksikan kenaikan harga antara 20 sen dan 50 sen.
Antara barang yang naik harga ialah Milo, Nescafe, susu cair dan susu pekat manis.
Seorang lagi pemborong, Lim Keong Bim berkata, beliau tidak mempunyai pilihan melainkan menjual barangan mengikut harga baru.
Di KUANTAN, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN & HEP) cawangan Pahang mahu orang ramai bijak memilih premis perniagaan yang menjual barangan runcit dan makanan pada harga berpatutan.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN&HEP Pahang, Wan Suhaimi Wan Ibrahim ketika dihubungi berkata, tindakan tidak boleh dikenakan kepada peniaga yang menjual barangan bukan kawalan pada harga yang tinggi kecuali jika mereka gagal meletakkan tanda harga.
Sementara itu, tinjauan mendapati orang ramai dan peniaga di Kuantan merungut berikutan harga barangan runcit bukan kawalan yang dilihat semakin naik.
Bagi Siti Rahimah Mohamad Nor, 47, yang lebih 10 tahun menjalankan perniagaan nasi berlauk di Kuantan, kenaikan harga barang runcit boleh dilihat dengan jelas apabila kos untuk membeli keperluan tersebut meningkat sekali ganda.
“Tahun lepas saya memperuntukkan sebanyak RM200 dalam seminggu untuk membeli barangan runcit seperti bawang, minyak masak, telur, dan sayur-sayuran, tapi kini saya kena peruntukkan sebanyak RM400 untuk membeli kuantiti yang sama.”
Sementara itu, seorang peniaga runcit di Pasar Besar Kuantan, Rosli Mahmud, 40, berkata kenaikan harga beberapa barangan bukan disebabkan tindakan peruncit tetapi harga itu telah ditetapkan oleh pengedar.
– Bernama : KUALA LUMPUR 14 Mei –

| < Sblm | Seterusnya > |
|---|