KUALA LUMPUR: Hanya kerana mahu kaya ketika kebanyakan rakyat negara ini tersepit akibat kekurangan bekalan minyak masak, seorang ‘saudagar’ Aceh sanggup menyembunyikan lebih 5 tan minyak masak di dalam gudang miliknya di Chow Kit, di sini.
Ahli perniagaan Aceh berusia 40-an itu dikesan membeli secara besar-besaran minyak masak paket dari pembekal sebelum disorokkan bersama bekalan gula.
Ketua Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP Wilayah Persekutuan, Othman Awang berkata, kegiatan peniaga terbabit berjaya dibongkar selepas sepasukan enam pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan, melakukan pemeriksaan di sebuah kedai runcit di Jalan Raja Alang, Chow Kit, di sini.
Dalam pemeriksaan diketuai Penolong Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP, Azlin Kamaruddin bermula jam 4.30 petang itu, mereka memeriksa sebuah kedai runcit sebelum menyoal siasat pemiliknya berhubung penjualan dan bekalan minyak masak di premisnya.
Bagaimanapun jawapan diberikan pemilik kedai runcit itu menimbulkan rasa curiga sebelum pegawai KPDNHEP memeriksa gudang bersebelahan kedai berkenaan.
Ketika serbuan terdapat tiga pekerja sedang sibuk memunggah bekalan beras dan gula untuk dimasukkan ke dalam gudang terbabit,
“Pegawai KPDNHEP menemui 5,000 paket minyak masak seberat satu kilogram setiap satu yang disorok di bahagian belakang gudang terbabit.
“Selain itu, siasatan turut mendapati lelaki berkenaan turut menyembunyikan 21,000 paket gula seberat satu kilogram setiap satu di dalam gudang berkenaan,” katanya.
Apabila diajukan soalan berhubung kewujudan terlalu banyak bekalan minyak masak dan gula berkenaan, peniaga warga Acheh terbabit gagal memberi jawapan memuaskan.
“Tambah menghairankan apabila siasatan lanjut turut mendapati pemilik gudang terbabit turut tidak memiliki lesen pemborong sejak beroperasi tujuh tahun lalu.
“Lelaki berkenaan sebaliknya mendakwa dia tidak tahu bahawa lesen borong diperlukan untuk memborong barang kawalan terbabit,” katanya.
Susulan daripada penemuan barang kawalan terbabit, pemilik gudang berkenaan akan disiasat mengikut Akta Kawalan bekalan 1967 kerana menyimpan dan berniaga barang kawalan tanpa lesen borong.
“Jika sabit kesalahan, peniaga terbabit boleh dikenakan tindakan denda tidak kurang RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun,” katanya.
Difahamkan pihak KPDNHEP turut menjalankan siasatan berhubung tindakan segelintir peniaga warga Acheh yang menyorokkan gula untuk diseludup ke Indonesia berikutan harga gula lebih 30 peratus lebih mahal di negara berkenaan.
“Pihak KPDNHEP Wilayah Persekutuan kini sedang menggiatkan sepenuhnya pemeriksaan terhadap pemborong, pembungkus, pasar raya dan peruncit yang disyaki menyembunyikan barang kawalan terbabit hingga menyusahkan pengguna,” katanya.
SOROK....Pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azlin memeriksa ribuan paket gula yang disorokkan di sebuah gudang di Chow Kit, semalam.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
myMetro

| < Sblm | Seterusnya > |
|---|