“Tak... bukan semestinya harga akan naik,” kata Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kenaikan Harga Minyak. Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai peningkatan subsidi minyak yang dibelanjakan kerajaan tahun lalu, seperti diketengahkan dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya umum kali ini.
Pada halaman 12 manifesto yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu, BN menggariskan beberapa langkah untuk meringankan beban rakyat berikutan kenaikan harga barang.
Antaranya membelanjakan RM16.2 bilion untuk subsidi petrol, diesel dan gas serta RM18 bilion bagi mengekalkan harga rendah bekalan gas kepada industri serta penjanaan elektrik.
Dalam ucapan pada majlis pelancaran manifesto itu, Abdullah berkata pada 2007 kerajaan membayar RM43.4 bilion bagi subsidi dengan RM35 bilion daripada jumlah itu diperuntukkan bagi subsidi minyak.
Mengenai Manifesto BN pada pilihan raya kali, Najib berkata ia adalah petunjuk prestasi utama (KPI) kerajaan BN yang mengetengahkan pencapaian serta hala tuju untuk manfaat rakyat dan negara pada masa depan.
Timbalan Pengerusi BN itu juga yakin huraian terperinci laporan kemajuan yang dicapai BN sejak 2004 itu dapat meningkatkan lagi pemahaman dan keyakinan rakyat kepada perjuangan kerajaan BN selama ini.
“Dokumen ini adalah KPI kerajaan BN kerana ia menggambarkan hala tuju secara terperinci bagi membolehkan rakyat menilai apa yang sudah dilakukan dan ke arah mana kerajaan BN akan bawa rakyat dan negara ini,” katanya.
Najib berkata, Manifesto BN kali ini lebih mudah difahami kerana ulasan setiap bidang diketengahkantanpa menggunakan bahasa retorik politik yang mengelirukan rakyat.
-berita harian: 26 Febuari 2008-

| < Sblm | Seterusnya > |
|---|