Anda di sini:

Talkjanz dotCom

Kerajaan Belanja RM2.4 Bilion Untuk Bekalan Makanan Tahun Ini

Kabinet, yang bersidang hari ini, meluluskan peruntukan RM2.49 bilion, di bawah Dasar Jaminan Bekalan Makanan untuk menjamin bekalan makanan negara bagi tahun ini, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed mengumumkan hari Jumaat.

Beliau berkata peruntukan itu adalah sebahagian daripada RM4 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, tidak lama dahulu, untuk menangani isu bekalan makanan dan harga makanan negara.

"Keadaan bekalan makanan sedia ada dalam negara adalah mencukupi. Walau bagaimanapun, berikutan peningkatan berterusan harga makanan di pasaran dunia, kabinet telah meluluskan Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara tiga minggu lepas," katanya di sidang akhbar di pejabatnya di sini.
Beliau berkata Kementerian itu telah mengenalpasti tujuh langkah pelaksanaan bagi peruntukan yang baru diluluskan itu.

Langkah-langkah itu adalah:

(i) peningkatan pengeluaran beras;

(ii) pengwujudan stok penimbal beras;

(iii) pemberian insentif kepada pengusaha-pengusaha pertanian;

(iv) program peningkatan pengeluaran dan produktiviti bagi sektor tanaman, ternakan dan perikanan;

(v) mengukuhkan FAMA bagi memastikan pasaran dan pengagihan hasil-hasil pertanian;

(vi) pelaksanaan program Bumi Hijau; dan

(vii) pengurusan kawasan terbiar untuk meningkatkan pengeluaran komoditi sekuriti.

Beliau berkata pengeluaran padi akan ditingkatkan melalui program peningkatan produktiviti yang merangkumi;

* penyelenggaran dan penaiktarafan infrastruktur;

* pengurusan ladang sawah secara optimum seperti melalui perataan tanah, pengawal perosak,  
   penggunaan baja dan input secara berkesan serta mekanisasi ladang; dan

* penyediaan peruntukan tambahan bagi membiayai insentif dan subsidi tambahan dengan
   peningkatan pengeluaran padi.

"Bagi melaksanakan program peningkatan produktiviti padi, kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM803 juta bagi tahun 2008, bagi memastikan hasil pengeluaran padi musim akan datang meningkat," kata Mustapa.

Beliau berkata kerajaan juga telah memutuskan untuk meningkatkan jumlah stok penimbal beras dimana stok ini akan ditingkatkan kepada bekalan selama tiga bulan.

Peningkatan jumlah stok penimbal ini akan dilakukan secara beransur-ansur melibatkan kesemua jenis beras pelbagai gred yang diperlukan dalam pasaran tempatan, katanya.

Mustapa berkata bagi pengwujudan stok penimbal beras, kerajaan telah pun menyediakan peruntukan sebanyak RM1.005 bilion bagi tahun ini.

"Bagi meningkatkan pengeluaran dan produktiviti sayur-sayuran, buah-buahan, daging lembu dan kambing serta akuakultur, ia melibatkan program-program taman kekal pengeluaran makanan, zon industri akuakultur, pembangunan hatcheri benih udang dan ikan serta perolehan baka lembu dan kambing bagi meningkatkan pengeluaran daging negara," kata Menteri itu.

Beliau juga berkata bagi melaksanakan program-program peningkatan pengeluaran dan produktiviti bagi sektor tanaman, ternakan dan perikanan adalah sebanyak RM90 juta bagi 2008.

Mustapa berkata memandangkan kepada peningkatan dalam kos pengeluaran barang-barang makanan seperti baja dan racun perosak, kerajaan telah bersetuju memberi insentif pengeluaran pengusaha-pengusaha pertanian yang menghasilkan bahan-bahan asas pertanian bagi menampung sebahagian peningkatan kos.

"Bagi melaksanakan pembayaran insentif ini, pengusaha-pengusaha perlu berdaftar dengan Kementerian bagi melayakkan mereka menerima insentif ini.

"Kementerian sedang memperincikan pelaksanaan bayaran insentif ini agar pengesahan pengeluaran sebenar boleh dibuat bagi mengelakkan insiden penyelewengan. Pelaksanaan insentif ini akan bermula Jun, 2008," katanya.

Bagi melaksanakan program insentif ini, peruntukan sebanyak RM513 juta telah diluluskan bagi 2008. Bagi memastikan hasil-hasil pertanian yang dikeluarkan itu dipasarkan secara berkesan, FAMA akan meningkatkan keupayaan pemasaran hasil-hasil pertanian melalui pembangunan pusat pengedaran, pusat pengumpulan serta peningkatan bilangan pasar tani sebanyak 50 pasar tani di seluruh negara sebagai tambahan kepada 230 pasar tani yang sedia wujud.

Bagi 2008, FAMA telah diluluskan peruntukan sebanyak RM39 juta bagi melaksanakan program ini, kata Mustapa.

"Daripada jumlah tersebut wang pusingan urus niaga berjumlah RM25 juta untuk membolehkan pembelian hasil pertanian, program-program pertanian akan disediakan," katanya.

Menteri itu juga berkata program Bumi Hijau akan meliputi kawasan bandar dan desa dengan menggalakkan penduduk bercucuk tanam dan menternak ayam dan ikan atau dengan kombinasi yang sesuai untuk menampung keperluan keluarga dan selebihnya boleh dijual.

Program ini, katanya, akan dilaksanakan di halaman rumah dengan mengambilkira konsep "kitchen garden" dan "edible landscape".

"Kementerian akan mengedarkan biji benih sayuran terpilih, baja serta manual pelaksanaan kepada seluruh lapisan masyarakat. Peruntukan yang diluluskan bagi program ini bagi tahun 2008, adalah sebanyak RM20 juta," kata Mustapa.

Bagi tanah terbiar, beliau berkata ianya boleh digunakan dalam masa yang singkat bagi meningkatkan pegeluaran hasil-hasil pertanian.

"Tumpuan akan diberikan terhadap tanah hak milik perseorangan yang terletak berhampiran di antara satu sama lain, melalui kaedah 'profit-sharing' dengan pihak swasta yang dikenalpasti.

"Peruntukan yang diluluskan adalah sebanyak RM20 juta untuk 2008 untuk membangunkan kira-kira 1,000 hektar kawasan pertanian dan kolam terbiar bagi tahun ini," kata Mustapa.

- BERNAMA : 2 Mei 2008
Komen (0)add comment

Tulis komen.

busy