Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu, mangsa yang juga pemain skuad bola sepak bawah 18 tahun Pahang dikatakan baru selesai menjalani latihan di padang sekolahnya apabila didatangi kumpulan pelajar terbabit.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya apabila terus dibelasah kumpulan pelajar terbabit dipercayai dari sekolah menengah lain berhampiran.
Menurut mangsa yang enggan dikenali, kumpulan pelajar terbabit dikatakan sudah menunggunya di belakang pondok pengawal sekolah dan terus bertindak membelasahnya.
“Ketika kejadian, saya tidak berupaya melawan kerana bilangan mereka ramai dan hanya mampu menahan kesakitan dibelasah kumpulan pelajar itu yang datang dari sekolah lain.
“Kejadian itu turut disaksikan beberapa pelajar lain, namun mereka tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu kerana bimbang turut dibelasah pelajar berkenaan.
“Selepas puas membelasah, seorang pelajar yang berlagak ketua kumpulan itu kemudian memberi amaran supaya saya tidak mengganggu anak buahnya,” katanya ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.
Mangsa berkata, dia dibelasah kumpulan pelajar terbabit yang dikatakan tidak berpuas hati terhadap insiden membabitkannya dan seorang pelajar lain seminggu lalu yang juga adik seorang daripada ahli kumpulan itu.
“Dalam kejadian itu, saya secara tidak sengaja terlanggar kaki seorang pelajar lelaki sekolah sama ketika berjalan, namun sudah memohon maaf terhadap pelajar itu.
“Tapi, maaf bukan saja tidak diterima, malah dia bertindak kurang ajar apabila mengajak saya bertumbuk tetapi saya tidak melayannya dan beredar dari tempat kejadian,” katanya.
Katanya, dia tidak menyangka kejadian itu menyebabkan pelajar terbabit berdendam dan mengadu kepada abangnya yang belajar di sekolah lain sebelum berpakat dengan beberapa pelajar lagi membelasahnya.
Difahamkan, seorang pelajar yang terbabit dalam kejadian itu sudah ditahan polis peronda selepas menerima maklumat mangsa dan suspek dibawa ke IPD Kuantan untuk diambil keterangan.
Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima aduan kejadian berkenaan tetapi enggan mengulas lanjut.
Oleh Zaitie Satibi:myMetro

| Seterusnya > |
|---|