Anda di sini:

Talkjanz dotCom

Bala tarik balik akuan

 Buat kenyataan bersumpah baru nafi kaitan Najib dengan model Mongolia

KUALA LUMPUR: Penyiasat persendirian, P Balasubramaniam, semalam menarik balik akuan bersumpahnya yang mengaitkan Datuk Seri Najib Razak dengan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Sehubungan itu, beliau membuat satu lagi akuan bersumpah yang menafikan segala tuduhannya terhadap Timbalan Perdana Menteri.

Dalam akuan bersumpah yang baru itu, Balasubramaniam mengakui akuan bersumpahnya sebelum ini tidak tepat serta tidak benar. Pada sidang akhbar di lobi sebuah hotel di sini, peguamnya, M Arulampalam, menjelaskan anak guamnya membuat akuan bersumpah pertama pada 1 Julai lalu dalam keadaan tertekan dan kecewa dengan kerajaan.

“Anak guam saya sudah menyedari kesilapan yang dilakukan dan mahu menarik balik akuan bersumpahnya. Itu saja yang kami ingin beritahu,” katanya sebelum mengedarkan salinan akuan bersumpah baru Balasubramaniam.

Penyiasat persendirian itu pula hanya berdiam diri sepanjang sidang akhbar yang berlangsung selama kira-kira 10 minit itu.

Kelmarin, Balasubramaniam mengadakan sidang media bersama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengedarkan salinan akuan bersumpahnya yang mengandungi pelbagai tuduhan berkaitan hubungan awal antara Altantuya dan Najib.

Timbalan Perdana Menteri bagaimanapun menyifatkan dakwaan itu sebagai pembohongan yang amat dahsyat, berniat jahat dan berunsur fitnah serta rekaan semata-mata untuk mencemarkan imejnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata polis tetap akan menyiasat akuan bersumpah pertama dan terbaru Balasubramaniam untuk mengetahui motifnya.

“Kita akan siasat kedua-dua akuan bersumpah itu kerana mungkin mempunyai niat tertentu untuk mengaburi orang ramai,” katanya ketika dihubungi semalam.

Naib Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan pula berkata Balasubramaniam boleh didakwa atas tuduhan membuat kenyataan palsu mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun dan denda.

“Balasubramaniam mengikrarkan dua akuan bersumpah yang bercanggah dalam masa 24 jam... ini adalah sesuatu yang serius,” katanya.

Beliau berkata, akuan bersumpah bukan sesuatu yang boleh dipermain-mainkan dan pihak yang membuat akuan itu perlu sedar mengenai risiko yang akan ditanggungnya.

“Persoalan sekarang, akuan bersumpah manakah yang benar? Jadi polis perlu menyiasat kedua-dua akuan bersumpah itu bagi mengetahui kebenarannya,” katanya.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Shaik Daud Ismail, berkata tindakan Balasubramaniam membuat akuan bersumpah yang tidak benar sebelum ini, cukup memalukan kerana ia pertama kali berlaku di negara ini.

“Akuan bersumpah itu tidak lagi boleh diguna pakai kerana beliau sudah mengaku akuan itu tidak benar,” katanya

 -Berita Harian :Anwar Hussin, Jalal Ali Abdul Rahim dan Ifwan Tun Tuah-

Komen (0)add comment

Tulis komen.

busy