Pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh akan menyaksi pertandingan tiga penjuru di antara calon BN, PKR dan Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).Pengumuman tersebut dibuat oleh pegawai pengurus pilihanraya, Roslan Yahya pada jam 11.45 pagi tadi.
Calon-calon tersebut ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR), Datuk Arif Shah Omar Shah (BN) dan Hanafi Hamad dari AKIM.
Seorang lagi calon yang turut mengemukakan borang pencalonan pagi tadi, Dr Mansor Othman telah menarik diri.
Menurut Roslan, Suruhanjaya Pilihanraya menerima tiga bantahan tetapi tiada calon yang ditolak. Dr Mansor yang juga timbalan pengerusi biro pilihanraya PKR, mengejutkan banyak pihak pagi tadi apabila mengemukakan borang untuk bertanding sebagai calon bebas.
Ekoran itu, tercetus desas-desus yang mengatakan Dr Mansor adalah calon 'simpanan' PKR sekiranya pencalonan Anwar, ditolak.
Ketika ditemui pihak media kemudiannya, pengarah pilihanraya PKR Permatang Pauh, Mustapha Kamal Yusof mengesahkan bahawa Dr Mansor adalah calon 'simpanan'.
Calon BN, Arif Shah adalah yang pertama menyerahkan borang penamaan calon pada jam 9.12 pagi dan diikuti oleh Anwar pada jam 9.18 pagi.
Dr Mansor pula menyerahkan borang penamaan calonnya pada jam 9.40 pagi, diikuti oleh Hanafi pada jam 9.55 pagi.
Tanda sebagai kegemaran
Bookmark
eMail ini
Hits: 331
Komen (0)

Tulis komen.
| < Sblm | Seterusnya > |
|---|